Saturday 11 June 2011

FAEDAH "STEVIA PENGGANTI GULA BIASA"


FAEDAH "STEVIA PENGGANTI GULA BIASA"
Berita Mingguan 29.03.09 (Sunday)
Dipetik dari Harian Metro
Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

BERITA kenaikan harga gula selepas sambutan Tahun Baru Cina ini pasti meresahkan ramai pengguna. Mana tidaknya, dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan ini, harga barang keperluan harian pula meningkat.Memang ia berita yang kurang sedap didengar tetapi jika difikirkan semula, mungkin ini boleh dijadikan titik tolak untuk memperbaiki tahap kesihatan.

Sebenarnya semua orang, tidak kira kanak-kanak, remaja atau orang dewasa, tidak memerlukan gula. Gula hanya perisa yang mengandungi kalori tetapi tiada khasiat.Ia digunakan hanya untuk menaikkan rasa makanan dan sebagai mana yang kita tahu, makanan manis memang lebih mudah diterima, terutama di kalangan kanak-kanak.
Manis dan masin adalah rasa yang dipelajari sejak kanak-kanak. Berbanding rasa masin garam, kemanisan gula lebih memikat selera.

Ini sebabnya ada ibu bapa memasukkan gula dalam makanan anak untuk menggalakkan mereka makan. Namun kesilapan kecil ini merangsang cita rasa anak terhadap makanan manis dan ia biasanya berlanjutan hingga dewasa.Kajian Kementerian Kesihatan mendapati, rakyat negara kita mengambil kira-kira 125 gram sehari atau 875 gram seminggu; lebih dua kali ganda daripada had disaran iaitu hanya 50 gram atau tidak melebihi 10 camca teh.

Bukan rakyat Malaysia saja yang mengambil banyak gula, malah ia juga berlaku pada masyarakat Barat, termasuk Amerika Syarikat. Akhbar melaporkan, secara purata rakyat Amerika mengambil antara 900 hingga 1,350 gram gula seminggu!Namun ini bukan perkara yang perlu dicontohi atau dijadikan saingan kerana banyak kajian menunjukkan pengambilan gula berlebihan hanya memudaratkan kesihatan. Malah, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris, menyarankan pengguna mengurangkan meminum minuman ringan yang dihasil menggunakan gula fruktosa yang mengandungi lebih 50 peratus gula sukrosa.Katanya, penyelidik mendapati tindakan fruktosa dalam badan berbeza daripada gula jenis lain kerana ia dimetabolismakan dengan cara yang boleh menyebabkan pertambahan berat badan kerana ia tidak menghalang tindakan ghrelin iaitu hormon rasa lapar.Maknanya, fruktosa meningkatkan kecenderungan kita untuk makan dan makan berlebihan itu adalah penyumbang utama kenaikan berat badan.Gula sebenarnya adalah karbohidrat. Sumber penting tenaga.

Nasi, bihun, mi, pasta, roti, sayuran berubi dan buah-buahan adalah makanan yang kaya karbohidrat. Jadi kita tidak perlu risau jika tidak mengambil gula kerana semua makanan yang diambil memang mengandungi gula karbohidrat, sama ada dalam bentuk semula jadi atau diproses. Karbohidrat juga ditukar ke bentuk gula ringkas dulu sebelum ia boleh digunakan sebagai tenaga.Biasanya apabila bercakap mengenai gula, kita merujuk kepada gula sukros daripada tebu atau beet. Antara bentuk gula yang ada di pasaran ialah gula bertapis seperti sukrosa (gula pasir atau halus), dekstrosa (sirap jagung) dan sirap fruktosa (sirap) yang digunakan dalam penghasilan pelbagai makanan seperti roti, bijirin sarapan pagi, mentega kacang, mayonis, sos, kicap dan minuman ringan. Itu belum masuk makanan yang sememangnya manis seperti kek, biskut atau kuih muih.Malangnya badan kita tidak dapat membezakan antara gula asli atau yang diproses kerana semuanya memberi kesan sama. Secara umumnya semua jenis gula, tidak kira apa jenis dan sumbernya (termasuk daripada karbohidrat) membekalkan tenaga sebanyak empat kalori bagi setiap gram.Kita semua maklum, setiap tenaga berlebihan disimpan sebagai lemak. Bagi individu yang ada masalah berat badan, cita rasa terhadap makanan manis memburukkan keadaan dan menyukarkan proses menguruskan badan. Malah, ada yang menganggap gula bertapis (yang berwarna putih) sebagai punca kematian kerana di sebalik rasa manisnya, ia boleh menyebabkan pelbagai masalah kepada sistem imun, berat badan dan kesihatan secara keseluruhan.

Bagaimana gula boleh menjejaskan kesihatan?

· Gula putih menyekat sistem imun. Didapati gula putih boleh mengurangkan hayat dan jumlah sel darah putih yang menjadi ejen utama kepada sistem imun kita untuk menghalang jangkitan atau kemasukan benda asing ke dalam badan. Ada yang mengatakan gula juga membuatkan badan kita bersifat asidik yang menyebabkan kita lebih mudah diserang bakteria dan virus. Malah, gula juga menjadi makanan utama kepada bakteria dan fungus jika berlaku jangkitan.

· Gula putih dikategorikan sebagai makanan tinggi glisemik. Maknanya, ia menyebabkan paras gula darah meningkat cepat dan menjejaskan paras insulin. Maka ia dianggap makanan terlarang, terutama bagi pesakit kencing manis, kerana ia menyukarkan kawalan paras gula darah.

· Gula juga ada kaitan rapat dengan kanser. Walaupun kebanyakan doktor tidak mengenakan pantang larang makanan kepada pesakit kanser yang menerima rawatan, mengawal kandungan gula dalam darah membantu meningkatkan tahap kesihatan pesakit.Kawalan paras gula dalam darah melalui penjagaan makanan, senaman, makanan tambahan dan ubat antara komponen penting dalam rawatan kanser.

· Mengurangkan pengambilan gula dianggap langkah penting untuk membantu menurunkan berat badan. Masalah dihadapi kebanyakan orang ialah mempunyai bekalan tenaga harian berlebihan daripada makanan dan minuman. Walaupun semua orang tahu bersenam itu penting bagi membakar (menggunakan tenaga), masih ada yang liat mengamalkannya. Tenaga yang berlebihan, ditambah pula tenaga daripada gula dalam minuman, turut menyumbanJustify Fullg kepada pertambahan berat badan.

· Gula dan makanan manis adalah penyebab utama kepada kerosakan gigi seperti kerap dialami kanak-kanak. Bakteria dalam mulut menggunakan gula ini untuk menjadikan keadaan mulut lebih berasid bagi memecahkan lapisan enamel (lapisan gigi paling luar). Lama kelamaan, gigi akan berlubang. Apabila ini terjadi, banyak masalah lain menyusul, termasuk sakit gigi, jangkitan dan kehilangan gigi.Tabiat makan yang terlalu kerap juga perlu dihentikan. Ini kerana apabila kita makan (khususnya makanan mengandungi karbohidrat), ia meningkatkan kemungkinan pereputan gigi kerana air liur lebih banyak digunakan untuk menghancurkan makanan, sedangkan air liur penting bagi meneutralkan tahap keasidan mulut.Dalam kajian lain mendapati, masalah kesihatan gigi boleh menjadi penyumbang langsung kepada masalah jantung. Untuk mengelak masalah kesihatan yang lebih serius, kurangkan pengambilan gula dalam makanan harian.

Langkah untuk mengurangkan pengambilan gula:

· Baca label dan periksa kandungan gula sesuatu produk. Perkataan glukosa, sukrosa, fruktosa, dekstrosa, madu, gula perang dan semua jenis sirap bererti gula.

· Buat catatan, terutama bagi yang suka makanan manis. Catatan ini termasuk minuman manis (kopi, teh atau jus buah ketika sarapan), sajian pencuci mulut (kuih-muih, snek, gula-gula atau kek. Melalui cara ini, anda boleh membuat penilaian berapa banyak makanan manis yang anda ambil dalam masa sehari atau seminggu.

· Amalkan minum air masak setiap kali makan, terutama ketika makan tengah hari atau makan malam. Jika selama ini anda minum minuman manis, kurangkan kemanisan minuman anda. Pastikan anda juga meminta segelas air masak bersama minuman manis bagi menambah pengambilan air masak.

· Setiap 355 mililiter minuman ringan atau karbonat mengandungi kira-kira 10 camca teh gula. Ini bersamaan dengan saranan pengambilan gula harian daripada makanan dan minuman. Minuman ringan adalah sumber gula tambahan paling utama dalam diet kanak-kanak Amerika Syarikat. Senario ini tidak banyak berbeza dengan keadaan kanak-kanak di negara kita yang dibesarkan dengan pelbagai minuman ringan. Justeru, tidak hairan jika masalah obesiti kanak-kanak di Malaysia turut meningkat.

· Ketika membeli, pilih makanan atau minuman yang mempunyai label ‘kurang manis’.· Gantikan snek makanan ringan atau sajian pencuci mulut kuih muih kepada buah-buahan.


No comments:

Post a Comment